Arkib untuk Julai 17, 2012

“Saya suka, saya share!”

Posted: Julai 17, 2012 in Renungan

   “Amalan nisfu syaaban, best nie. Share!” desis hati Mat sambil menekan butang ‘Share’

              “Eh, kesiannya rakyat Syria ni. Teruk btul dorg kne bakar! Kena share ni, bg rakyat Malaysia alert sket dgn isu di Syria” luah Imah sambil meneliti gambar di wall Facebook miliknya.

             “Eh, air mineral ni adalah holy water? Aku mesti selamatkan umat Islam Malaysia. Share!!” bentak Fendi.

Dunia di Hujung Jari

Saya perhatikan sekarang adalah fenomena ‘Dunia di Hujung Jari’. Penyebaran maklumat mudah sahaja dilakukan dan ianya praktikal dan efisyen. Jika dahulu, kita memerlukan naskhah akhbar, poster, risalah  untuk menyebar maklumat, tetapi hari ini laman sosial dan alam maya memudahkan lagi proses penyebaran maklumat.

Begitu besar jasa laman sosial kepada masyarakat Arab dan Islam apabila terjadinya ‘The Arab Spring’ yang pada awalnya tercetus di laman sosial. Heboh di seluruh dunia apabila seorang anak muda bernama Wael Ghonim berjaya mencetus revolusi di Tanah Arab melalui laman sosialnya. Jadi, nyata laman sosial ini besar manfaatnya.

Mudahnya share!

Saya masih ingat di peringkat awal, ramai yang bergelut dengan hukum memiliki akaun laman sosial. Namun, selepas pencerahan, demi pencerahan, masyarakat mula menerima laman sosial ini besar faedahnya sebagai platform dakwah.

Namun, saya melihat satu ‘trend’ yang merisaukan mula membarah dalam kalangan pemilik akaun laman sosial terutama anak muda yang kebanyakannya terdiri dari pelajar Universiti dan sekolah. Budaya ‘share’ yang kian berleluasa tanpa soal selidik. Saya tidak memfokuskan kepada perkara yang bersifat politikal sahaja bahkan seluruh perkara yang dikongsikan.

Satu senario yang ringkas tapi cukup untuk membuatkan saya berfikir ketika pulang dari Lecture Prof. Tariq Ramadhan tempoh hari. Keadaan yang sesak menyebabkan saya terpaksa berhimpit-himpit untuk masuk ke LRT(Tiket bas jam 10 malam, waktu tu dah jam 6.15petang). Lalu, saya akhirnya berdiri di sebelah seorang gadis dalam lingkungan usia 20’an. Di tangannya giat menyentuh skrin ‘Galaxy Tab’. “Oh, dia baca tazkirah” bisik hati saya sambil menjeling ke skrinnya. Jarinya giat menolak ke atas dan bawah tanpa saya sempat membaca apa isi kandungannya.(Saya tahu tazkirah sebab bila ‘stop’, sempat baca sikit).  Lalu, pantas jarinya menyentuh butang ‘Share’. Saya terdetik, “Eh, cepatnya dia baca!”.

Nampak? Begitu mudah kita share kepada orang lain perkara-perkara yang kita belum maaruf dan fahami dengan baik. Saya sukar nak terima orang yang cuba men’justifikasi’kan tindakan itu dengan menggunakan hadith nabi s.a.w “Sampaikan dariku walaupun satu ayat” kerana saya merasakan itu adalah tindakan mengkhianati kata-kata nabi s.a.w. jika perkara yang dikongsikan itu palsu.  Bagaimana kita mahu bersemuka dengan nabi di akhirat kelak sedangkan di dunia ini kita banyak melakukan pengkhianatan atas nama nabi? Renungkan!

Itu hanya perkara yang melibatkan ilmu, sudah pun melanggar disiplin menuntut ilmu. Jika perkara yang disebarkan itu berkaitan dengan maruah orang lain? Bagaimana? Berbalik kepada isu Syria yang sentuh di atas, saya dengan tegas membantah tindakan regim Bashar Al-Assad ke atas rakyat Syria(tidak semestinya umat Islam sahaja!), tetapi saya juga dengan tegas membantah tindakan penyebaran maklumat yang tidak tepat mengenai isu itu. Penyebaran gambar, berita semasa, itu semua mesti diselidiki agar ianya sahih untuk di’share’. Jika tidak, itu adalah fitnah atas nama Islam! Free-free kita sudah pun menjadi seorang pemfitnah? Cuba bayangkan lagi jika fitnah yang kita cetuskan atau kongsikan itu, dikongsikan pula oleh pembaca-pembaca status kita? Cuba bayangkan kita telah melakukan fitnah atas nama Islam? Bagaimana? Renungkan lagi!

Maka,selidikilah!

           “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan apa yang kamu telah lakukan.” : [Al-Hujurat:6]

Dalam surah Al-Hujurat, Allah telah menegaskan supaya orang-orang beriman yakni kita semua yang mengaku beriman agar menyelidiki terlebih dahulu perkara sebelum membuat apa-apa tindakan mahu pun keputusan. Bagaimana? Soal method itu terpulang kepada kebijaksanaan akal yang Allah dah kurniakan kepada kita. Yang penting, maklumat itu tepat! Nak bertanya kepada tuan punya badan, nah, silakan! Nak risik, silakan! Bergantung kepada kebijaksanaan anda! Jika kita hebat dalam menyelidiki kesalahan atau dosa orang lain, maka kita juga mestilah hebat dalam menyelidiki kebenaran.

Refleksi: Berkongsilah kerana Allah

Saya bercerita tentang perkongsian. Nyata kita sebagai muslim mukmin wajib berkongsi perkara yang baik-baik dan memberi peringatan menjauhi perkara yang mungkar. Namun, adakah kita mahu dengan niat yang kita yang suci dan murni itu, kita akhirnya terjerumus ke lembah fitnah? Saya tidak membantah sedikit pun tindakan anda berkongsi tetapi biarlah selepas kita arif dan fahami tentang apa yang kita kongsikan. Status kita, perkongsian kita, itu semua tanggungjawab kita yang perlu dipikul. Moga-moga perkongsian kita itu, Allah redha.