Arkib untuk Julai 11, 2012

Manisnya Ukhuwwah Fillah

Posted: Julai 11, 2012 in Luahan, Santai

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a., Nabi s.a.w. bersabda : Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain adalah seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.”- Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Pengalaman Pertama

Saya pernah melalui kehidupan yang serba suram. Dirasakan bahagia namun, ianya kosong dan mendukakan. Bagi seorang mahasiswa yang baru menjejak kaki ke kampus, saya rasakan pencarian saya di kampus sedikit berbeza berbanding mahasiswa lain.Lalu, ditakdirkan saya bertemu dengan sahabat yang cukup menenangkan hati saya. Dialah naqib pertama saya. Pengalaman dengannya cukup unik. Berusrah di atas motosikal menjadi rutin kami. Kebetulan waktu itu, saya masih mencari-cari pengisi kekosongan hati saya. Alhamdulillah, segalanya mudah buat saya.

Jaringan Itu Meluas

“Ana takde geng usrah ke? Asyik ana sorang je” soal saya pada suatu hari.

Ya. Usrah saya pada awalnya hanya berdua. Seorang naqib seorang anak usrah. Lalu suatu hari, naqib saya menghubungi saya untuk ke Program Tautan Kasih, di mana di sana saya bertemu lebih ramai sahabat. Di sana, saya cukup tenang. Dan saya yakin, inilah yang saya cari.

Dari detik itu, lebih ramai yang saya temui. Semester demi semester yang saya lalui di bumi hijau UPM cukup membahagiakan. Kehadiran sahabat-sahabat yang menjadi pemangkin semangat, pengubat duka.

Hujan Itu Rahmat, Pengikat Ukhuwwah

Satu kejadian alam yang sentiasa yang membuatkan saya tersenyum adalah HUJAN. Kenapa? Kerana hujan sentiasa menjadi penguat ukhuwwah saya bersama sahabat. Hampir semua peristiwa yang mengukirkan kenangan indah sehingga ke hari ini berlaku ketika hujan.

“Kita dah lambat ni. Program dah nak mula. Nanti ustaz marah. Redah jela hujan”

Lalu, kami meredah hujan. Perjalanan yang mengambil masa setengah jam dirasakan begitu membahagiakan walaupun meredah hujan. Apalagi, sahabat saya yang sememangnya ‘rempit sejati’ bersama dengan kuda perangnya hanya mampu menunggang kelajuan kurang dari 80km sejam.

Seingat saya, banyak lagi peristiwa yang melibatkan hujan selaku ‘perapat ukhuwwah’ kami. Ada satu ketika sewaktu saya baru tamat belajar, saya ke Perak untuk menghadiri satu program. Kemudian, saya ke Kulim, Kedah untuk menghayati kehidupan sahabat saya di sana. Sahabat ini saya kenal dalam satu program tetapi hanya SMS penghubung kami. Jadi, hujung minggu itu saya mengikuti aktiviti sehariannya. Dari pagi ke petang, berniaga buku di satu karnival di Penaga, kemudiannya malamnya kami berniaga buku di satu program amal. Tamat sahaja program, jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Lalu, kami mengambil untuk melalui lebuh raya. Sekali lagi, hujan di tengah jalan dan kami redahi hujan itu selama 1 jam. Kesejukan tetapi tetap membahagiakan.

Siapa mereka pada saya?

Jika ini tidak pernah saya luahkan kepada ‘mereka’, maka sesungguhnya ‘mereka’lah segala-galanya buat saya. Berjauhan bukan isyarat perpisahan tetapi itu tanda haluan perjuangan. Masih tersemat di hati janji dalam kalangan kami, untuk bertebaran di bumi ini dan sirami dengan Islam yang suci. Bergraduasinya kami adalah paluan gendang perjuangan yang lebih mencabar. Hari ini, doa saya masih untuk mereka dan saya harap doa mereka juga buat saya.

Ukhuwwah Kunci Kekuatan

Sahabat-sahabatku,

Ukhuwwah bukan ucapan retorik tetapi ia perlu dipraktik. Apa yang kamu kongsikan kepada saya, itulah yang menjadi bekalan motivasi dan cenderahati pada hari ni. Tiada sebuah material pun yang saya simpan melainkan kenangan bersama kamu semua. Moga kita semua thabat. Ukhuwwah Fillah Abadan Abada J

Pesan Baginda S.A.W. Dalam Hadisnya Yang Berbunyi:
Ertinya:

Daripada Nu’man bin Basyir r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

“Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas, kasihan antara orang mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.”

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Advertisements