Arkib untuk Julai, 2012

 

“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, seperti mana yang telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa” : Al-Baqarah: 183

‘Begin With End in Mind’. Salah satu motivasi yang dirangka oleh penulis buku Stephen R. Covey. Namun, hakikatnya itulah pendekatan yang digunakan oleh Allah s.w.t untuk memotivasikan hambaNya. Diceritakan di dalam Al-Quran apa yang kita perlu buat dan apa akibatnya sekiranya kita patuh dan ingkar.

Apa ‘End’ Kita Ramadhan ini?

Ramadhan tiba lagi. Seperti tahun-tahun sudah, kita semua telah pun ada ‘mind-set’ apa yang sepatutnya berlaku dalam bulan ini. Sahur, Puasa, Tarawikh di masjid, Moreh, Bazar Ramadhan, rancangan televisyen dan lain-lain. Itu semua telah tersimpan kemas dalam minda kita. Namun, adakah kita sudah pun  meletakkan ‘target’ yang mahu kita capai dalam ramadhan ini? Berapa juzuk mahu dihabiskan, berapa surah yang mahu dihafal, dan yang paling penting, siapakah kita di akhirnya Ramadhan.

Refleksi: Cipta siapa kita

Pemurahnya Allah, Dia kurniakan tawaran-tawaran hebat kepada kita sahaja. Umat Muhammad. Kita sepatutnya berbangga dengan itu dan berlumba-lumba untuk mendapatkan perhatiannya. Seorang pemain bola sepak yang tahu ada wakil kelab yang memerhatikannya pasti akan bersungguh-sungguh untuk memastikan dirinya melakukan yang terbaik kerana tidak pasti lagi ada peluang yang kedua. Apalagi kita yang 24/7 diperhatikan Allah?Jadi, berlumba-lumbalah dan cipta siapa diri kita selepas Ramadhan nanti.

 

Salam ramadhan kareem,

Ramadhan kembali lagi. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana kita semua masih lagi disempatkan oleh Allah s.w.t untuk menikmati pesta Ibadah lagi pada tahun ini. Ramai yang telah pulang ke rahmatullah sebelum sempat menikmati ramadhan pada tahun ini [Al-Fatihah].

Adat atau ibadah?

Namun, apabila tiba bulan Ramadhan, maka terdapat beberapa gelagat orang kita yang masih lagi belum berubah. Seakan-akan, menyambut bulan Ramadhan ini adalah adat dan bukan ibadah. Saya pernah menyentuh isu ini dalam artikel saya 2 tahun lepas, tetapi saya yakin saya akan dapat menyaksikan gelagat yang sama pada tahun ini. Kepada yang telah berhijrah, alhamdulillah.

Maintain dan steady

Saya yakin, ramai yang memulakan azam mahu mengejar pahala yang diganjarkan dalam bulan pesta  ibadah ini. Mahu bertarawikh 20 rakaat setiap malam, mahu khatam al-quran lebih dari sekali sepanjang bulan,bersedeqah dan lain-lain ibadah lagi. Alhamdulillah, saya gembira dengan azam itu. Namun, saya kira kita perlu lihat pada kemampuan diri dan berkadaran supaya amalan itu berterusan. “Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit”[ Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]. Jangan pula malam pertama ramadhan, kita perhebatkan ibadah di masjid tetapi hujungnya ramadhan, kita beriktikaf di pusat membeli-belah. Beristiqamahlah!

Refleksi: Kejar tawaran hebat dari Allah

Sebagai refleksi awal ramadhan, alhamdulillah kita letakkan target kita dan kejar tawaran hebat dari Allah. Percayalah dugaan ramadhan bukan sekadar pada makan dan minum tetapi dugaan mengawal nafsu diri.

“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, seperti mana yang telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa” : Al-Baqarah: 183

Ke mana minda kita perlu berubah?

Posted: Julai 20, 2012 in Ilmiah, Reform

“Aku tidak berkehendak melainkan melakukan Islah(pembaikan) sedaya-upayaku dan tidak ada taufiq bagiku melainkan daripada Allah. Kepada-Nyalah aku bertawakkal dan kepada-Nyalah aku akan kembali” – Hud: 88

Kunjungan Prof.Tariq Ramadhan ke Malaysia, menjunjung satu misi yang besar iaitu melakukan ‘Reformasi kepada Pemikiran Umat Islam’ di Malaysia. Lecture-Tour Prof. Tariq Ramadhan ini berjaya minat banyak pihak terutamanya golongan muda-Islamis yang mula meninggalkan corak pemikiran konservatif kepada pemikiran yang lebih kontempotari. Antara ‘point’ utama yang disampaikan oleh Prof. Tariq Ramadhan adalah ‘Reform Yourself!’. Saya abadikan salah satu dari siri syarahan beliau di sini 🙂 Layaan~

“Saya suka, saya share!”

Posted: Julai 17, 2012 in Renungan

   “Amalan nisfu syaaban, best nie. Share!” desis hati Mat sambil menekan butang ‘Share’

              “Eh, kesiannya rakyat Syria ni. Teruk btul dorg kne bakar! Kena share ni, bg rakyat Malaysia alert sket dgn isu di Syria” luah Imah sambil meneliti gambar di wall Facebook miliknya.

             “Eh, air mineral ni adalah holy water? Aku mesti selamatkan umat Islam Malaysia. Share!!” bentak Fendi.

Dunia di Hujung Jari

Saya perhatikan sekarang adalah fenomena ‘Dunia di Hujung Jari’. Penyebaran maklumat mudah sahaja dilakukan dan ianya praktikal dan efisyen. Jika dahulu, kita memerlukan naskhah akhbar, poster, risalah  untuk menyebar maklumat, tetapi hari ini laman sosial dan alam maya memudahkan lagi proses penyebaran maklumat.

Begitu besar jasa laman sosial kepada masyarakat Arab dan Islam apabila terjadinya ‘The Arab Spring’ yang pada awalnya tercetus di laman sosial. Heboh di seluruh dunia apabila seorang anak muda bernama Wael Ghonim berjaya mencetus revolusi di Tanah Arab melalui laman sosialnya. Jadi, nyata laman sosial ini besar manfaatnya.

Mudahnya share!

Saya masih ingat di peringkat awal, ramai yang bergelut dengan hukum memiliki akaun laman sosial. Namun, selepas pencerahan, demi pencerahan, masyarakat mula menerima laman sosial ini besar faedahnya sebagai platform dakwah.

Namun, saya melihat satu ‘trend’ yang merisaukan mula membarah dalam kalangan pemilik akaun laman sosial terutama anak muda yang kebanyakannya terdiri dari pelajar Universiti dan sekolah. Budaya ‘share’ yang kian berleluasa tanpa soal selidik. Saya tidak memfokuskan kepada perkara yang bersifat politikal sahaja bahkan seluruh perkara yang dikongsikan.

Satu senario yang ringkas tapi cukup untuk membuatkan saya berfikir ketika pulang dari Lecture Prof. Tariq Ramadhan tempoh hari. Keadaan yang sesak menyebabkan saya terpaksa berhimpit-himpit untuk masuk ke LRT(Tiket bas jam 10 malam, waktu tu dah jam 6.15petang). Lalu, saya akhirnya berdiri di sebelah seorang gadis dalam lingkungan usia 20’an. Di tangannya giat menyentuh skrin ‘Galaxy Tab’. “Oh, dia baca tazkirah” bisik hati saya sambil menjeling ke skrinnya. Jarinya giat menolak ke atas dan bawah tanpa saya sempat membaca apa isi kandungannya.(Saya tahu tazkirah sebab bila ‘stop’, sempat baca sikit).  Lalu, pantas jarinya menyentuh butang ‘Share’. Saya terdetik, “Eh, cepatnya dia baca!”.

Nampak? Begitu mudah kita share kepada orang lain perkara-perkara yang kita belum maaruf dan fahami dengan baik. Saya sukar nak terima orang yang cuba men’justifikasi’kan tindakan itu dengan menggunakan hadith nabi s.a.w “Sampaikan dariku walaupun satu ayat” kerana saya merasakan itu adalah tindakan mengkhianati kata-kata nabi s.a.w. jika perkara yang dikongsikan itu palsu.  Bagaimana kita mahu bersemuka dengan nabi di akhirat kelak sedangkan di dunia ini kita banyak melakukan pengkhianatan atas nama nabi? Renungkan!

Itu hanya perkara yang melibatkan ilmu, sudah pun melanggar disiplin menuntut ilmu. Jika perkara yang disebarkan itu berkaitan dengan maruah orang lain? Bagaimana? Berbalik kepada isu Syria yang sentuh di atas, saya dengan tegas membantah tindakan regim Bashar Al-Assad ke atas rakyat Syria(tidak semestinya umat Islam sahaja!), tetapi saya juga dengan tegas membantah tindakan penyebaran maklumat yang tidak tepat mengenai isu itu. Penyebaran gambar, berita semasa, itu semua mesti diselidiki agar ianya sahih untuk di’share’. Jika tidak, itu adalah fitnah atas nama Islam! Free-free kita sudah pun menjadi seorang pemfitnah? Cuba bayangkan lagi jika fitnah yang kita cetuskan atau kongsikan itu, dikongsikan pula oleh pembaca-pembaca status kita? Cuba bayangkan kita telah melakukan fitnah atas nama Islam? Bagaimana? Renungkan lagi!

Maka,selidikilah!

           “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan apa yang kamu telah lakukan.” : [Al-Hujurat:6]

Dalam surah Al-Hujurat, Allah telah menegaskan supaya orang-orang beriman yakni kita semua yang mengaku beriman agar menyelidiki terlebih dahulu perkara sebelum membuat apa-apa tindakan mahu pun keputusan. Bagaimana? Soal method itu terpulang kepada kebijaksanaan akal yang Allah dah kurniakan kepada kita. Yang penting, maklumat itu tepat! Nak bertanya kepada tuan punya badan, nah, silakan! Nak risik, silakan! Bergantung kepada kebijaksanaan anda! Jika kita hebat dalam menyelidiki kesalahan atau dosa orang lain, maka kita juga mestilah hebat dalam menyelidiki kebenaran.

Refleksi: Berkongsilah kerana Allah

Saya bercerita tentang perkongsian. Nyata kita sebagai muslim mukmin wajib berkongsi perkara yang baik-baik dan memberi peringatan menjauhi perkara yang mungkar. Namun, adakah kita mahu dengan niat yang kita yang suci dan murni itu, kita akhirnya terjerumus ke lembah fitnah? Saya tidak membantah sedikit pun tindakan anda berkongsi tetapi biarlah selepas kita arif dan fahami tentang apa yang kita kongsikan. Status kita, perkongsian kita, itu semua tanggungjawab kita yang perlu dipikul. Moga-moga perkongsian kita itu, Allah redha.

Manisnya Ukhuwwah Fillah

Posted: Julai 11, 2012 in Luahan, Santai

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a., Nabi s.a.w. bersabda : Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain adalah seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.”- Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Pengalaman Pertama

Saya pernah melalui kehidupan yang serba suram. Dirasakan bahagia namun, ianya kosong dan mendukakan. Bagi seorang mahasiswa yang baru menjejak kaki ke kampus, saya rasakan pencarian saya di kampus sedikit berbeza berbanding mahasiswa lain.Lalu, ditakdirkan saya bertemu dengan sahabat yang cukup menenangkan hati saya. Dialah naqib pertama saya. Pengalaman dengannya cukup unik. Berusrah di atas motosikal menjadi rutin kami. Kebetulan waktu itu, saya masih mencari-cari pengisi kekosongan hati saya. Alhamdulillah, segalanya mudah buat saya.

Jaringan Itu Meluas

“Ana takde geng usrah ke? Asyik ana sorang je” soal saya pada suatu hari.

Ya. Usrah saya pada awalnya hanya berdua. Seorang naqib seorang anak usrah. Lalu suatu hari, naqib saya menghubungi saya untuk ke Program Tautan Kasih, di mana di sana saya bertemu lebih ramai sahabat. Di sana, saya cukup tenang. Dan saya yakin, inilah yang saya cari.

Dari detik itu, lebih ramai yang saya temui. Semester demi semester yang saya lalui di bumi hijau UPM cukup membahagiakan. Kehadiran sahabat-sahabat yang menjadi pemangkin semangat, pengubat duka.

Hujan Itu Rahmat, Pengikat Ukhuwwah

Satu kejadian alam yang sentiasa yang membuatkan saya tersenyum adalah HUJAN. Kenapa? Kerana hujan sentiasa menjadi penguat ukhuwwah saya bersama sahabat. Hampir semua peristiwa yang mengukirkan kenangan indah sehingga ke hari ini berlaku ketika hujan.

“Kita dah lambat ni. Program dah nak mula. Nanti ustaz marah. Redah jela hujan”

Lalu, kami meredah hujan. Perjalanan yang mengambil masa setengah jam dirasakan begitu membahagiakan walaupun meredah hujan. Apalagi, sahabat saya yang sememangnya ‘rempit sejati’ bersama dengan kuda perangnya hanya mampu menunggang kelajuan kurang dari 80km sejam.

Seingat saya, banyak lagi peristiwa yang melibatkan hujan selaku ‘perapat ukhuwwah’ kami. Ada satu ketika sewaktu saya baru tamat belajar, saya ke Perak untuk menghadiri satu program. Kemudian, saya ke Kulim, Kedah untuk menghayati kehidupan sahabat saya di sana. Sahabat ini saya kenal dalam satu program tetapi hanya SMS penghubung kami. Jadi, hujung minggu itu saya mengikuti aktiviti sehariannya. Dari pagi ke petang, berniaga buku di satu karnival di Penaga, kemudiannya malamnya kami berniaga buku di satu program amal. Tamat sahaja program, jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Lalu, kami mengambil untuk melalui lebuh raya. Sekali lagi, hujan di tengah jalan dan kami redahi hujan itu selama 1 jam. Kesejukan tetapi tetap membahagiakan.

Siapa mereka pada saya?

Jika ini tidak pernah saya luahkan kepada ‘mereka’, maka sesungguhnya ‘mereka’lah segala-galanya buat saya. Berjauhan bukan isyarat perpisahan tetapi itu tanda haluan perjuangan. Masih tersemat di hati janji dalam kalangan kami, untuk bertebaran di bumi ini dan sirami dengan Islam yang suci. Bergraduasinya kami adalah paluan gendang perjuangan yang lebih mencabar. Hari ini, doa saya masih untuk mereka dan saya harap doa mereka juga buat saya.

Ukhuwwah Kunci Kekuatan

Sahabat-sahabatku,

Ukhuwwah bukan ucapan retorik tetapi ia perlu dipraktik. Apa yang kamu kongsikan kepada saya, itulah yang menjadi bekalan motivasi dan cenderahati pada hari ni. Tiada sebuah material pun yang saya simpan melainkan kenangan bersama kamu semua. Moga kita semua thabat. Ukhuwwah Fillah Abadan Abada J

Pesan Baginda S.A.W. Dalam Hadisnya Yang Berbunyi:
Ertinya:

Daripada Nu’man bin Basyir r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

“Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas, kasihan antara orang mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.”

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]