Arkib untuk Ogos, 2010

Ramadhan: Di mana Silap Kita?

Posted: Ogos 22, 2010 in PERMATA, Renungan


Lewat ini saya melihat pelbagai kerenah bila sahaja menjelang bulan Ramadhan. Ada yang bertungkus lumus makan pada waktu siang kerana bila masuk bulan puasa nanti, nikmat makan siang itu akan dikekang. Ada juga yang bergembira dengan datangnya bulan Ramadhan. Bukan kerana pesta ibadah tetapi ternanti-nantikan bazaar-bazar Ramadhan yang bakal menyajikan ribuan jenis juadah. Ada juga dalam kalangan kita yang menantikan bulan Ramadhan kerana hendak dijadikan platform untuk berdiet selama sebulan.

Di mana asas kesilapannya?

Sering kali kita dididik bahawa bila masuk bulan Ramadhan, ada aktiviti-aktiviti yang ‘wajib’ kita jalani. Contohnya, sahur, puasa dan solat sunat tarawikh. Tetapi sedarkah kita berlaku salah faham atau salah didikan terhadap ibadah-ibadah yang dilakukan ini.

“Ayah, bulan puasa itu apa?” Tanya seorang anak kecil yang baru berniat puasa.

“Bulan Puasa tu, kita tak boleh makan, tak boleh minum.” Jawab seorang ayah sejujurnya.

“Kenapa kita tak boleh makan dan minum, ayah? Nanti lapar la” Tanya anak kecil itu lagi.

Si ayah kelu tanpa sebarang jawapan.

Di sini asasnya kesilapan ‘doktrinisasi’ yang kita lakukan. Kita mendidik bahawa puasa itu ertinya tidak boleh makan dan minum sahaja. Bila mana datang sahaja, isu yang terbesar adalah tidak boleh makan dan tidak boleh minum bukannya satu bulan di mana kita mempertingkatkan ibadah kita.

“Abang, kakak, adik, bangun sahur. Kalau tak sahur, nanti lapar.” Kejut seorang ibu yang mahu mendidik anaknya untuk berpuasa.

Jarang sekali kita dengar.

“Abang, kakak, adik, bangun sahur. Nabi dulu pun sahur. Kita umat nabi. Mesti nabi sayang kalau kita ikut apa yang dia buat.”

Kita jarang mendengar didikan yang mengajar anak-anak kecil suka pada sunnah nabi. Alangkah bagusnya kalau anak-anak dididik untuk menyukai sunnah dari kecil lagi. Kerana itu, apabila anak-anak ini dewasa, bila mana tiba sahaja bulan Ramadhan, kita akan melihat banyak ragam yang sebenarnya menyimpang dari apa yang Allah suruh dan apa yang rasul sarankan.

Bukan hamba nafsu

Kita sering kali melihat gelagat anak muda yang resah kerisauan bila tiba sahaja bulan Ramadhan. Pelbagai aktiviti perlu dikekang. Ada yang makan banyak-banyak pada siang hari kerana bila tiba bulan Ramadhan, tiada lagi kebenaran untuk berbuat demikian. Ada pula bila waktu sahur, menghisap sebanyak mungkin rokok, kerana risau ‘gian’ bila berpuasa nanti. Di mana kefahaman bahawa sebenarnya itulah yang Allah hendak latih. Melatih diri untuk tidak dikuasai nafsu. Melatih diri untuk melawan kehendak fitrah. Makan itu fitrah manusia. Minum itu juga fitrah manusia. Tetapi kenapa Allah syariatkan kepada umat Islam untuk berpuasa adalah untuk melatih diri melawan kehendak fitrah itu. Supaya kita ini menjadi hamba Allah bukan hamba nafsu dan fitrah semata-mata.

Nikmat atau bala’?

Tibanya bulan Ramadhan bermakna terbukanya pintu-pintu rezeki. Kepada seorang peniaga makanan, bulan Ramadhan pastinya menjanjikan kemewahan dan  pendapatan yang di luar jangkaan. Begitu juga dengan pengunjung tetap bazar-bazar Ramadhan, pastinya menjanjikan kebahagiaan. Tetapi di mana nikmat itu sekiranya, kita mengabaikan apa yang Allah syariatkan sepanjang masa? Sering terdetik di hati, di mana kakak-kakak dan abang-abang ini perlu menggantungkan amalan puasanya sekira mereka tidak solat? Aduhai, kasihannya. Lagi menyayukan apabila terlalu ramai dalam kalangan peniaga yang bukan sahaja tidak menutup aurat dengan sempurna bahkan tidak menutup aurat. Makanan adalah isu penting bagi kita umat Islam. Sekiranya makanan yang kita makan dimasak oleh orang yang tidak bertaqwa, apa natijahnya? Kerana nabi ada bersabda “Makanlah makanan yang dimasak oleh orang yang bertaqwa.”

Kerana itu, apabila terjadinya tragedi ribut di Jasin tempoh hari, saya berasa gentar kerana yakin bahawa itu adalah teguran keras dari Allah. Terlalu ramai yang terkejar-kejarkan bazar Ramadhan sehinggakan mengabaikan aspek-aspek yang lebih penting di bulan puasa ini. Berhimpit-himpit di antara lelaki dan perempuan ajnabi, pakaian yang meruntuhkan iman dan pahala puasa dan kata-kata yang tidak bermanfaat.

Refleksi: Apa tindakan kita selepas ini?

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting di rumah. Melihat kepada situasi begini, saya tidak meletakkan 100% kesalahan di bahu ibu bapa kerana mereka mungkin terdidik dengan cara begitu juga. Tetapi saya percaya bahawa ibu bapa sekarang juga adalah agen perubahan masyarakat. Didikan yang berteraskan Islam merupakan jawapan yang terbaik bagi situasi ini. Soal ibu bapa juga jahil? Maka respon saya, janganlah diteruskan kejahilan itu dan jangan diwariskan pula kejahilan itu. Mulakan diri anda dan didik anak-anak untuk terus mengenal Islam.

Jadikan Ramadhan sebagai platform untuk kita raih ganjaran ‘taqwa’ yang dijanjikan oleh Allah.

Advertisements