Masalah Itu Tarbiyyah

Posted: April 14, 2010 in Luahan, PMIUPM

Saat saya menulis entry ini, hati sememangnya tidak tenang. Sedih, sebak dan tak tergambar dengan perkataan. Masalah bertimpa-timpa sejak kebelakangan ini. Rasa tidak  tertanggung. Kadang-kadang, tidak sanggup lagi diri untuk melihat dan mendengar apa yang berlaku di sekeliling saya ini. Bermacam-macam ragam manusia ini.

Bukan senang hendak memimpin. ‘Kullukum ra’in, wa kullukum mas’ulun ra’iyyatan’ sentiasa menjadi peringatan buat diri tapi kadang-kadang masih lagi alpa. Di bahu tergalas amanah yang cukup berat dan tidak layak rasanya diri ini untuk memikul amanah seberat ini. Tidak terdaya dengan kemampuan. Setiap kesalahan bakal menerima kritikan dan teguran yang keras tetapi dikuatkan hati kerana memimpin bukan untuk meminta penghormatan manusia semata-mata tetapi menjadi pewaris risalah Rasulullah s.a.w. Bila difikirkan kembali, tak apalah. Kritikan untuk membina diri.

Sejak akhir-akhir ini, saya banyak menerima teguran dari sahabat-sahabat. Mungkin sudah terlalu banyak kesalahan. Tidak kira sahabat sekuliah mahupun dari jemaah, masing-masing selalu memberi teguran. Teguran tanda sayang. Itu yang membuatkan saya serba salah dan malu dengan diri. Tidak layak diri ini untuk memimpin sekiranya diri sendiri masih belum terpimpin. Di dalam akademik, terhimpit dengan beribu masalah. Kadang-kadang, sahabat sekuliah tidak tahu tugas kita dan kita pula tidak mampu untuk memahamkan diri mereka. Yang terdaya, cuma mampu mencuba sedaya mungkin untuk mengelakkan fitnah.

Terkenang saat bermuhasabah bersama seorang sahabat pimpinan juga, terdetik di hati dia dan terluah juga kata-kata yang dia juga tidak mampu. Dari susuk perbadinya, saya akui dia seorang yang hebat tetapi dia juga berkata yang dia tidak mampu. Terus saya cuba untuk menilai apa yang ada pada diri saya ini. Kami sedar apa yang khilaf tentang kami adalah tarbiyyah fardhiyyah. Masih banyak yang kurang. Seperti apa yang naqib kami sampaikan pada sesi usrah yang lepas bahawa pimpinan ini perlu berada satu level yang lebih tinggi dari ahli dan rakyatnya. Jadi, amalan-amalan dan tarbiyyah fadhiyyah juga perlu diperhebatkan.

“Kota Konstantinopel akan ditawan oleh sebaik-sebaik pemimpin, dengan sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat”.

Itu hadith Rasulullah 800 tahun sebelum Konstantinopel ditawan. Betapa banyak usaha penawanan yang dilakukan tetapi gagal sehinggalah tiba saat seorang anak muda untuk merealisasikannya. Tetapi ia bukanlah semudah yang disangka. Persiapan yang dilakukan Sultan Muhammad Al-Fateh bukan sedikit. Dari tarbiyyah dirinya sehinggalah rakyatnya. Ada suatu ketika baginda ingin memilih imam untuk solat pertama di masjid Ayyan Sofia, baginda bertanyakan perihal tarbiyyah fardhiyyah tenteranya untuk layak menjadi imam.

Tidak tahulah. Mungkin ada yang merasakan itu bukan masalahnya, tapi pada saya itu masalah pokoknya. Kalau pemimpinnya haru-biru, maka rakyatnya caca merbalah. Lalu banyaklah teguran-teguran yang dilakukan bukan pada medium yang sesuai. Pada saya, silapnya pada diri saya. Kalau hubungan dengan Allah betul-betul dijaga, maka hubungan dengan manusia, insyaAllah tiada masalah. Kerana hati hambanya milik yang maha kuasa. Allah itu maha Adil. Kalau masalah tidak datang, masakan saya sedar semua ini. Teguran dan kasih sayang Allah hadir melalui masalah. Kerana masalah itu tarbiyyah..

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”- Al-Baqarah:286

Tinggalkan komen